17 January 2009

Sampah

Setiap hari, kita semua tidak terlepas daripada rutin membuang sampah. Daripada sekecil-kecil sampah sehinggalah kepada yang sebesar-besarnya. Tetapi, adakah anda membuang sampah dengan cara yang betul? Membuang sampah juga ialah satu disiplin dan juga satu etika.

Saya tidak ingat bagaimana emak dan abah saya mengajar saya, sehingga saya cukup memandang berat soal membuang sampah ini.

Saya cukup tidak suka jika ada orang membuang sampah merata-rata. Apa maksud merata-rata? Membuang sampah di dalam tong sampah yang berlainan tempat juga boleh dianggap membuang sampah merata-rata. Ada betulnya, bukan? 'Merata-rata' yang saya tak suka itu adalah apabila sampah dibuang di tempat yang tidak sepatutnya. Sampah, tempatnya ialah tong sampah, bekas sampah, plastik sampah, lubang sampah, dan sebagainya.

Hairan juga saya apabila melihat tempat saya belajar dan di mana-mana pun. Terdapat golongan termasuk yang berpendidikan lebih selesa membuang sampah di longkang, tepi jalanan, lubang tandas, lantai, tangga, dalam bas, dan sebagainya. Alahai... Nak menyenaraikan pun rasa tidak larat. Ish.. Saya tidak paham. Apa sebenarnya yang berada di fikiran mereka. Adakah wayar dan logik membuang sampah di otak sudah putus atau rosak?

Puntung rokok pun salah satu jenis sampah. Abah saya, seorang polis trafik pernah memberikan pendapatnya mengenai tabiat kebanyakan orang yang merokok. Abah saya juga seorang perokok. Di tempat kerjanya, tidak kiralah polis berjawatan rendah atau tinggi, tabiat membuang puntung rokok adalah sama. Habis merokok, mereka pijak dan jalan. Mahu tahu di mana modus operandi itu dilaksanakan? Di atas lantai, lantai berjubin, dan juga karpet. Tak paham... Tak paham... Mungkin wayar dan logik membuang sampah mereka lebur dek asap rokok. Ops, setelah abah saya selesai bercerita, saya tidak pula mempersoalkan cara dia membuang rokok. Sebab saya yakin abah saya seorang yang tidak melaksanakan modus operandi tadi. Tidak salah, bukan?

Seorang kawan saya pernah memberitahu bahawa, di Jepun, kanak-kanak diajar membuang kertas (yang sikit-sikit) dengan  melipatnya supaya menjadi kepingan kertas yang lebih kecil. Dengan berbuat demikian, ruang dalam tempat membuang sampah dapat dikurangkan, seterusnya melambatkan 'tragedi' tong sampah penuh. Sejak kawan saya berkongsi fakta itu, saya mula mempraktikkan cara itu untuk membuang sampah yang berkeping seperti kertas, plastik makanan ringan dan sebagainya. Ternyata, cara itu memberikan kesan yang baik.

"Kalau tong sampah penuh, apa yang patut dibuat?"

Pertama, jika sampah itu kecil, anda boleh menyimpannya terlebih dahulu sebelum membuangnya di tong sampah rumah anda. Kedua, jika sampah itu besar, tak salah jika anda memegangnya sehingga anda menjumpai tong sampah lain. Ketiga, jika di kawasan perumahan, pastikan plastik sampah anda diikat kemas dan letak saja sampah itu berdekatan dengan tong sampah yang penuh itu. Ingat, jangan baling, lempar, campak atau apa saja yang akan membuatnya sampah itu jatuh dan terkeluar isinya.

Persetankan bau busuk dan perasaan tidak selesa seketika, kerana dengan ketiga-tiga cara itu, kita akan meringankan kerja pemungut sampah. Anda bodoh jika anda mempersoalkan, "Itu memang kerja pemungut sampah, biarkan mereka uruskan!" Anda harus ingat, tidak semua pemungut sampah ada kegigihan memungut sampah secara total. Manusia tak sempurna. Anda harus melakukan sesuatu untuk kebaikan bersama.

Ada lagi satu keadaan yang sering berlaku. Binatang juga menjadikan sampah sebagai sumber makanan mereka. Mereka termasuk burung gagak, kucing dan anjing. Oleh itu, ambil sebarang inisiatif untuk mengurangkan sisa makanan di dalam plastik atau bekas sampah. Anda disarankan meletakkan sisa makanan di dalam tong atau bekas yang sesuai dan letakkan lapisan-lapisan tanah di antaranya. Sisa makanan ini akan menjadi baja dan boleh digunakan untuk menyuburi tanaman di persekitaran rumah anda.

Menarik bukan? Beberapa kawasan perumahan di Johor Bahru sudah pun melaksanakan penghasilan baja daripada sisa makanan. Setiap kawasan perumahan itu terdapat satu pusat perhentian (one stop centre) untuk mengumpulkan sisa-sisa makanan. Usaha ini mendapat sambutan yang cukup baik. Hampir semua suri rumahtangga memberikan kerjasama.

Terdapat banyak lagi cara dan etika membuang sampah. Terpulang kepada anda semua untuk melaksanakannya dengan cara yang tersendiri. Bagi saya, membuang sampah dengan cara yang betul adalah sekecil-kecil sumbangan kita kepada alam sekitar.

Jangan lupa ini: "Fikir Dulu Sebelum Buang."


Wazie: Selalu 'speechless' bila tengok orang buang sampah merata-rata.

2 comments:

  1. Pada sebelah petang, terjumpa puntung rokok di dalam sinki, dapur asrama... Ish... Ish... Ish...

    ReplyDelete
  2. aku pon x suke gak tengok sampah ni..sampah masyarakat pon banyak..haha

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...